: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Monday, April 12

Akal dan Syahwat

'Arif Mulla Sadra berkata,

"Ketahuilah bahawa manusia itu bersekutu dengan haiwan dalam perkara syahwat dan bersekutu dengan malaikat dalam akal. (1) Ada yang dicintai akal tetapi tidak disukai syahwat, (2) ada yang disukai syahwat tetapi tidak disukai akal. (3) Ada juga yang sama-sama disukai akal dan syahwat dan (4) ada juga yang tidak disukai akal dan tidak disukai syahwat."
Contoh yang pertama ialah sakit, kemiskinan dan benci dunia. Kedua ialah maksiat. Ketiga ialah ilmu, dan keempat ialah kebodohan.
Kedudukan ilmu dibandingkan kebodohan adalah seperti Syurga dengan Neraka. Seperti halnya akal dan syahwat tidak menyukai Neraka maka keduanya juga tidak menyukai kejahilan. (Mafatih al-Ghaib)

Kembali

Assalamualaikum wrt wbt..

Ada beberapa perkara yang menggerakkan untuk blog ini dihidupkan kembali. Pertama, kerana tidak mahu terlibat dalam ketagihan facebook. Lastu min ahl al-fesbukiyyah. Kedua, refleksi kepada beberapa peristiwa yang berlaku yang memerlukan catatan dan analisis. Sehingga tidak ter'gugel' lagi ke sana sini. Ketiga dan seterusnya adalah kerana ingin meringankan beban fikiran yang bukan2 dalam diri, yang memerlukan folder baru untuk disimpan serta lain-lain alasan yang munasabah untuk membuang masa (?).
"Aku menulis maka aku ada" juga adalah salah satu sebab untuk berblog. Ada blog yang serius tempat menuang gagasan penulis, atau jenis santai sebagai diari elektronik yang menulis hampir semua kegiatan harian termasuk apa sarapan pagi, apa menu tengahari, kucing yang belum dimandi dan sebagainya. Atau boleh jadi blog itu santai dan serius sekaligus.
Akhirnya ada sebuah hadis dalam Ghurarul Hikam menyebut, “Seorang hamba mukmin berusaha mewariskan ilmu dan adab yang baik kepada keluarganya, agar semuanya mendapat kesempatan untuk ke Syurga. Sementara hamba yang banyak berdosa akan mewariskan untuk keluarganya ilmu dan adab yang buruk, yang akibatnya masuk ke neraka."
Mudah-mudahan blog ini akan mewariskan sesuatu kepada kita semua untuk sampai ke Sisi-Nya.

Thursday, July 30

Banduan Hafal al-Quran

MASYHAD, 29 Julai – Seramai 154 orang daripada banduan Penjara Khurasan Razavi telah berjaya menghafal beberapa surah al-Quran. 
Menurut ketua perhubungan awam penjara, Sayyid Husin Nasiri, seramai 51 orang banduan telah berjaya menghafal satu juzu’ penuh manakala 103 orang lagi berhasil menghafal lebih daripada satu juzu’. 
Beliau berkata ini adalah hasil daripada beberapa program keagamaan dan pengajian yang dilaksanakan untuk para banduan.
Nasiri juga menambah kejayaan ini juga merupakan usaha berterusan para warden dan kakitangan penjara yang menitikberatkan ajaran Islam. 
“Pengurusan Islam yang baik dan berakhlak telah menarik minat para banduan untuk lebih memahami Islam sekaligus mempelajari al-Quran”, katanya lagi. (Sumber: Kayhan)

Thursday, July 16

Riwayat Paku

Seorang anak muda sering melakukan kesalahan dan dosa. Tidak pernah diendahkan walaupun puas si ayah menasihati, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Sehinggalah suatu hari si ayah tua jatuh sakit. Perlahan dia memanggil anaknya dan berwasiat, "Anakku, sekiranya engkau tetap dengan keinginan syahwat dan maksiat, lakukanlah." Sang anak membisu tidak mengerti.
"Tetapi dengarlah nasihatku ini. Setiap kali engkau melakukan dosa, ambillah sebatang paku dan ketuk di dinding rumah ini," sambung si ayah tua. Sang anak muda semakin tidak memahami.
"Namun jika kamu telah bertaubat, maka cabutlah paku-paku tersebut," si ayah berpesan sekaligus membiarkan anaknya dalam kebingungan.
Setelah si ayah meninggal, anak muda tersebut masih dalam kelalaian.Tetapi setiap kali dia melakukan dosa, diketuk sebatang paku di dinding rumah, untuk mencari makna perkataan ayahnya. Demikianlah berlalu sehingga seluruh dinding dipenuhi paku.
Suatu hari, setelah merenung paku-paku di dinding, timbul keinsafan di hatinya. Ah, betapa dosa-dosa yang telah kulakukan. Lantas dia mula mencabut paku-paku tersebut satu persatu sesuai dengan dosa yang ditinggalkan.
Sekian lama berlalu, dia masih belum mengerti wasiat si ayah, sehingga pada suatu malam dia bermimpi bertemu ayahnya yang berkata, "Anakku, lihatlah sekian banyak dosa yang telah kau lakukan. Betapapun engkau telah meninggalkannya dan bertaubat, kesannya masih terlihat. Sungguhpun telah dibuang semua paku, tapi bagaimana dengan lubang-lubang itu?"
Sang anak tiba-tiba tersedar. 'Tersedar' dengan sesungguhnya.
Di dalam Islam, setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan suatu nikmat tertentu dalam kehidupan kita ditarik oleh Allah SWT. Dalam doa panjang Nisfu Syaaban, Imam Ali memberitahu sahabatnya Kumail ibn Ziyad, "Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan turunnya kesempitan. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan hilangnya nikmat. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan turunnya bala bencana. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan doa terhijab."
Ya Allah, dengan keberkatan bulan Syaaban, ampunkan dosa-dosa kami yang mengundang kemurkaanMU.
ِِِِ

Thursday, July 2

Selamat Ulangtahun kelahiran Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib pada 13 Rajab.