: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :
Showing posts with label kisah. Show all posts
Showing posts with label kisah. Show all posts

Monday, May 10

Kisah Pohon Epal

Alkisah satu masa dahulu terdapat sepohon pokok epal yang besar. Setiap hari seorang anak kecil pergi ke pohon tersebut untuk bermain. Dahannya dipanjat, buahnya dimakan dan kadang-kala berteduh di bawah bayangannya. Dia mengasihi pokok itu dan pokok itu menyayanginya. Sekian masa berlalu, anak itu tidak lagi bermain bersama pokok epal. Suatu hari dia kembali dan kelihatan sugul.
Marilah bermain lagi bersamaku,” kata pohon epal.
Maaflah. Aku bukan anak kecil lagi untuk bermain dengan pokok,” balas anak itu. “Aku perlukan mainan dan duit untuk membelinya.”
Maafkan aku. Aku tidak punya wang. Jika kau mahu, petiklah buah epalku ini dan jual. Nanti kau akan dapat wang.”
Anak itu sungguh teruja. Dia memetik banyak buah epal dan berlalu dengan gembira. Setelah itu dia tidak pernah muncul lagi. Pohon epal merasa sedih.


Suatu hari anak kecil itu datang lagi. Tetapi dia sudah menjadi seorang lelaki dewasa.
Pokok epal sangat gembira dan berkata, “Marilah bermain bersamaku.”
Lelaki itu menjawab, “Oh, aku tidak punya masa lagi untuk bermain. Aku sudah punya keluarga. Keluargaku memerlukan rumah untuk berlindung. Bolehkah kau membantu?”
Maafkan aku. Aku juga tidak punya rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku untuk membina rumahmu,” kata pokok epal.
Lelaki itu terus mengambil kapak, memotong dahan-dahannya dan berlalu dengan senang hati. Pokok epal juga gembira. Namun lelaki itu tidak pernah muncul lagi. Pokok epal kembali sunyi dan bersedih.

Suatu hari di musim panas, lelaki itu datang lagi dan pokok epal sangat gembira.
Marilah bermain lagi denganku,” kata pokok epal dengan penuh harapan.
Aku sudah semakin tua. Aku memerlukan perahu untuk belayar dan menenangkan fikiran. Bolehkah kamu memberikan aku sebuah perahu?” tanya lelaki itu.
Ambillah batangku ini dan jadikan ia perahu. Belayar kamu dengan gembira,” kata pokok epal tanpa ragu-ragu.
Tanpa ragu-ragu juga lelaki tersebut memotong pokok epal dan menjadikannya perahu. Setelah itu dia belayar dan tidak pernah muncul-muncul lagi.

Suatu hari lelaki itu datang lagi. Pokok epal berkata, “Maafkan aku. Aku sudah tidak punya apapun untukmu. Aku tidak punya buah untuk dimakan.”
Aku juga sudah tidak punya gigi untuk mengunyah.”
Aku sudah tidak punya dahan untuk dipanjat.”
Aku juga sudah tua untuk itu.”
Aku benar-benar tidak punya apa. Apa yang aku ada hanyalah akar reput menanti maut,” kata pokok epal kesedihan.
Aku juga tidak memerlukan apa-apa lagi. Setelah tahun-tahun itu berlalu aku sudah keletihan. Aku hanya memerlukan sebuah tempat untuk berehat.”
Oh! Akar pokok tua adalah tempat paling sesuai untuk beristirehat. Marilah dan berbaringlah di sisiku.”
Lelaki tua itu duduk dan pokok epal sangat gembira. Dia menangis dan tersenyum.

Pesan Moral
Kisah ini adalah kisah kita semua. Pokok epal ibarat ibu bapa kita. Dari kecil kita bermain bersama mereka. Apabila kita besar kita meninggalkan mereka sambil sesekali menjenguk mereka apabila kita memerlukan sesuatu atau menghadapi masalah. No matter what, parents always be there and give everything they could. Just to make us happy. Mungkin kita fikir lelaki itu kejam terhadap pokok epal, tetapi begitulah kita ‘menghargai’ orang tua kita. Mereka sering kita abai dan sisih. Kita datang dan pergi tanpa pernah berterima kasih. Ya Allah! Ampunilah segala kesalahan kami terhadap kedua orang tua kami, bimbinglah kami untuk mengasihi mereka dan tempatkan mereka di sisi para kekasih-Mu, ya Allah. Selamat Hari Ibu!

(Diterjemah daripada: Dirahkt-e Sib va Pesar-e Bache)

Monday, April 19

Kisah Awal Pagi 2: Hasan Jatuh

Malam masih belum terlalu lewat, mungkin sekitar jam 10. Tiba-tiba si Hasan yang terjun dari atas meja berteriak kuat. Kakinya terseliuh. Dalam serba salah kami memutuskan untuk menghantarnya kepada tukang urut. Dalam perjalanan, di tengah jalan dan di tengah malam, kereta kami kehabisan minyak. Tak jadi ke tukang urut, kami bergegas ke bahagian kecemasan hospital. Setelah menunggu beberapa lama, hasil x-ray tidak menunjukkan tanda-tanda retak atau patah, Alhamdulillah. Namun doktor bertegas agar dia ditahan di wad. Kesempatan malam itu, kami bercerita tentang manusia sekeliling di wad yang dilanda seribu satu masalah. Kesedihan, tangisan, kesetiaan, penderitaan, penyesalan dan kasih sayang membungkus perasaan mereka semua, termasuk kami. Esoknya dia di x-ray lagi di bahagian pinggang. Pun tidak ada tanda-tanda kecederaan serius. Akhirnya sekitar jam 6 petang kami dibenarkan pulang. Alhamdulillah.

Untuk kisah benar ini, kami kongsikan artikel pendek berikut;

Menurut pandangan Islam, perbuatan buruk insan memiliki peranan yang penting dalam masalah dan musibah kehidupannya. Al Qur’an menjelaskan:

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan salah dan dosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah Syura: ayat 30)

Ketika menjelaskan dan menafsirkan ayat ini Saidina Ali k.w.j berkata: "Hindarilah dosa kerana semua bala dan kekurangan rezeki adalahnya akibat dosa; termasuk gatal badan, jatuh dan mendapat musibah."

Jika manusia yakin bahawa segala perbuatan buruknya boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupannya di dunia, dan akan membebankannya setelah kematian, maka dia tidak akan sanggup melakukan perbuatan buruk.

Jika keyakinan ini semakin kuat, dia akan menjadi asas dalam pembentukan manusia yang saleh. Syeikh Rajab Ali Khayyati, tukang jahit ‘arif adalah salah seorang yang dikurniakan Basirah Ilahiyah dan pandangan Barzakhi untuk melihat hubungan perbuatan buruk dan kesulitan hidup. Dengan pandangan ini, dia sering menasihati masyakarat dan membuka simpul beban hidup serta musibah mereka. Sederhana tapi jelas, beliau membimbing mereka di jalan kesempurnaan insaniah.

Salah seorang murid beliau bercerita, “
Suatu hari anakku yang berusia dua tahun buang air kecil di dalam rumah. Ibunya sangat marah lalu memukul anak kecil tersebut. Sejam setelah itu si ibu demam dengan kepanasan badan yang sangat tinggi. Kami bergegas ke doktor. Setelah pulang, badannya semakin panas dan kami kembali semula ke doktor tersebut. Suatu malam ingin aku menghantar guruku Syeikh Rajab Ali ke satu majlis. Isteriku juga berada dalam kereta tersebut. Aku memberitahu beliau bahawa badan isteriku masih panas dan kami telah membawanya ke doktor tetapi masih belum sembuh. Syeikh melihat sejenak dan berkata, “Tidak seharusnya memukul anak sampai begitu kuat. Istighfarlah. Hiburkan si anak dan belikan sesuatu untuknya. InsyaAllah, nanti sembuh sendiri.” Kami melakukannya dan dia sembuh!” (Petikan buku The Elixir of Love)
Ya Allah, apapun dosa kami terhadap anak-anak, ampunilah mereka dan kedua ibubapa mereka.

Tuesday, April 13

Kisah Pagi 1

Salah satu kesempatan paling indah adalah berada di dalam kereta antara 15 hingga 20 minit di waktu pagi bersama-sama isteri menghantar anak kami ke sekolah. Kesempatan itu kadang-kadang berlanjutan di meja warung sarapan. Kadang kami saling menceritakan pengalaman masing-masing di tempat kerja, masalah orang sekeliling, tentang anak-anak, rumahtangga dan lain-lain. Kami saling mendengar dan meluahkan. Kadang lucu, kadang santai dan sering juga beremosi. Lama-lama terfikir nak buat siri kisah pagi ni..
Lobak, Telur dan Kopi
Pagi ini isteriku menceritakan kisah temannya yang kemurungan. Katanya beban masalah yang tiba menimpa-nimpa. Dalam perjalanan menghantar anak kami ke sekolah, aku ceritakan kisah yang pernah kubaca ini kepadanya.
Ceritanya...
Seorang wanita yang baru sahaja berkahwin. Setelah beberapa ketika dia bertemu ibunya dan mengeluh tentang sikap suaminya; kasar, berat tulang, boros dan lain-lain. Si isteri berharap ibunya turut menasihati tingkah laku sang suami. Namun ibu tua itu tetap diam sambil berlalu ke dapur. Sambil terus mendengar omelan puterinya, sang ibu memanaskan secerek air.

Beberapa ketika, air mula mendidih. Sang ibu menuangkan air panas itu ke dalam tiga gelas. Setiap satu gelas berisi telur, lobak dan kopi. Seketika menunggu, si ibu mengangkat isi gelas-gelas tadi. Lobak yang keras menjadi lembut, telur yang mudah pecah menjadi keras dan kopi memancar aroma harum.

Si ibu lalu menjelaskan, “Puteriku, masalah itu bagaikan air mendidih. Namun bagaimana sikap kita itulah yang menentukan kesannya. Kita boleh lembut seperti lobak, keras seperti telur atau wangi seperti kopi.”

“Dalam setiap masalah sebenarnya tersimpan mutiara berharga. Memang mudah untuk bersyukur dalam keadaan biasa. Tapi apakah kita mampu untuk tetap yakin dan beriman ketika pertolongan Tuhan tidak kunjung tiba?”

“Hari ini kita belajar tiga reaksi orang ketika masalah datang. Ada yang lembik, mengeluh dan bermurung. Ada yang mengeras marah bahkan memprotes Tuhan. Ada juga yang sebaliknya semakin harum, taat dan tunduk menyerah penuh percaya kepadaNya.”

“Puteriku, ada kalanya Tuhan sengaja menunda pertolonganNya agar kita belajar untuk percaya bahawa tidak pernah ada masalah yang tidak Dia selesaikan.”

Thursday, December 6

Anak Ayam

Hassan bangun merengek-rengek. Jam menunjukkan pukul 5 pagi dan Abang masih tidur. Atuk siap-siap nak ke masjid. Daripada rengekannya melarat, aku buka tingkap tepi katil. "Hassan, kok kokokookk..tu tengok ayam," dengan mata separuh terbuka aku melayan si Hassan. Tertatih-tatih ke tepi tingkap, kok kokk.., Hassan meniruku. Mama separuh sedar bersuara, "Beli la mainan untuk budak-budak tu.."
Seingat aku, hanya beberapa kali aku beli mainan. Itupun bola, creative block, bola, ABC mat dan bola. "Bukan tak nak beli, tapi Abah tak tahu nak beli apa. Nak beli pistol, esok Abah takut budak-budak tu minat jadi polis. Polis ni maklumlah..lagipun mendorong pada keganasan," ujarku dengan mata terbuka penuh. "Nak belikan jet atau helikopter, ngeri pulak teringatkan Cessna dan Nuri. Kalau beli Bulldozer pun, dia besar nanti mana ada bukit dah kat Selangor ni nak ditarah. Takkan nak beli cooking set, Mama tengok la chef-chef yang ada kat Malaysia sekarang ni," sambungku lagi. "Habis tu?" Mama juga sepenuh sedar bertanya.
"Abah dulu besar di kampung. Mana ada mainan-mainan tu semua. Dulu mainan kami burung serindit, anok ike spila, ayam dan alam. Mandi sungai, laga buah getah, kutip durian, panjat duku dan macam-macam permainan ada." aku bangun dan betulkan kilas kain untuk berwudhu.

"Takpe la Hassan, esok Abah beli anak ayam untuk Hassan", janji Mama sambil bersiap untuk berjemaah.
"Kukukkukk..", Hassan seakan bersetuju dengan janji Mama. Esok? Mana aku nak cari anak ayam ni..

Saturday, December 1

Kisah Kemiskinan

Seseorang yang tak bernama menulis sebuah riwayat, “Pada suatu hari seorang bapa yang kaya telah membawa anaknya ke sebuah desa untuk melihat kemiskinan penduduk di situ. Mereka menghabiskan masa beberapa hari di situ bersama sebuah keluarga miskin.

Sekembali dari desa itu, si ayah telah bertanya kepada anaknya, “Bagaimana dengan pengalaman kamu selama kita di sini?. “Sungguh hebat,” jawab si anak. “Tidakkah kamu melihat bagaimana manusia hidup dalam kemiskinan,” tanya ayah. Si anak lalu menjawab, “Ya, kita mempunyai seekor kucing untuk menjaga rumah, tetapi mereka mempunyai lima ekor kucing! Kita hanya ada sebuah kolam di sudut halaman, tetapi mereka ada sungai yang mengalir saban hari.” “Kita memiliki lampu yang diimport di tengah ruang tamu, tetapi mereka memiliki jutaan bintang di langit. Kita mempunyai sebidang tanah untuk tinggal tetapi tanah mereka sejauh mata memandang.” “Kita memiliki orang gaji yang bekerja untuk kita, tetapi mereka memberi khidmat kepada manusia lain. Kita membeli makanan tetapi mereka menghasilkan. Kita membina pagar untuk melindungi kita tetapi mereka mempunyai jiran tetangga yang menjaga.”

Si ayah terdiam tidak lagi mampu bersuara. Lalu anaknya berkata, “Terima kasih ayah kerana mengajar saya betapa miskinnya kita!”

Sang pencerita menyambung lagi, bahawa perspektif adalah sesuatu aneh. Justeru berterima kasih dengan apa yang kita miliki lebih baik daripada bimbangkan sesuatu yang tidak kita punyai.” Hargailah setiap apa yang ada di sekeliling kita.

Hassan Demam

Sudah beberapa hari si Hassan demam. Hampir setiap jam dia tersedar dan menangis. Seisi rumah tidak dapat tidur. Kali ini memang teruji menjadi abah. Lagipun si Abang dulu tak banyak karenah. Sudah puas diberi ubat, disapu minyak angin ke perut, masih macam tu. Atuknya dah berapa kali tiupkan doa dan zikir. Malam tadi sampai jam tiga pagi Atuk buatkan air tawar. Semalam dah cadang nak bawa ke klinik, alih-alih pagi tengok ok jer.

Bagaimanapun kami sekeluarga tetap 'bersyukur'. Kebelakangan ni jarang benar kami nak berjaga malam. Tangisan si Hassan menyedarkan kami. Panas badan dan sakit-sakit tubuh Hassan rupanya wasilah untuk kami memperbaiki dan mencari kesempurnaan diri. Mungkin Tuhan sedang 'rindu' untuk mendengar rintihan kepadaNya.

Kami ambil kesempatan itu untuk berbisik kepada Tuhan, Ya Allah, hulurkankan kesabaran kepada kami dalam dugaanMu ini. Jadikan penat longlai kami ini sebagai tanda ingatan kasihMu. Sungguh, kami memerlukan 'tangga' untuk naik ke ribaan rinduMu. Dan sekarang, oh Tuhan, sihat anakku telah Engkau cabut untuk membina bilah-bilah tangga itu. Engkau Maha Mengetahui sudah sekian lama kami tidak bersamaMu, entah kerana alpa entah kerana dosa. Lalu sekarang, Engkau telah bangunkan sebuah daerah kesunyian untuk berkasih. Oh, Tuhan terimalah kami.

Jika suatu ketika Engkau kembalikan sihat anak kecil ini, janganlah kami ditinggalkan lagi..perkenankanlah Ya Ilahi...

Friday, June 29

Takziah

3 Jamadil Thani tahun 11 Hijriyah, langit malam Madinah kelihatan mendung. Entah memang kerana cuaca yang suram atau sedih menahan perasaan. Malam itu tanah Madinah menerima sekujur mayat untuk dikebumikan.
Seseorang yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dan paling mulia di kalangan wanita di alam semesta. Malam itu jasad Fatimah az-Zahra disemadikan oleh suaminya Ali, anak-anaknya dan beberapa orang sahabat terdekat.
Hari ini, sebagai kenang-kenangan untuk rohnya yang dirahmati, sepotong al-Fatihah terlalu sederhana bagi seseorang yang memberikan kita pelajaran murni untuk sejarah yang abadi...Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un..