: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Monday, December 24

Selamat Menyambut 'Eiduladha 1428H

Ya Allah, masukkan daku
di antara para penziarah Rumah-Mu yang mabrur,
dengan Haji yang masykur dan Sa'ie yang maghfur.
Ya Allah, jadikan di antara ketentuan untukku;
usia yang panjang dalam ketaatan,
dan rezeki yang berlimpah dengan keberkatan
sehingga kusempurnakan segala amanah titipan
dan hutang yang terbeban,
Amin Ya Rabbal 'Alamin

Saturday, December 15

Setelah Tujuh Tahun

Tujuh tahun lalu kami berlima selalu berkumpul. Kami menggelarnya SAM (Selagi Ado Mugo). Ertinya kami akan berkumpul dan bersembang sambil makan-makan hingga semuanya habis. Selagi ada makanan kami akan terus bersembang. Pernah kami makan sejak berbuka sampai sahur, gara-gara kebab free dari Taman Melewar! Hahaha.

Minggu lepas -selepas tujuh tahun- aku SMS kepada empat yang lain, "Slm. Slmt dtg ke reunion 'SAM' pada Jumaat mlm di..." Semua positif. Du balas, "Orait. SAM=Set Al Maunah". Hahaha! Awi, "sett.." Pok Lan, "berehh..". Keri, "OK".

Dan akhirnya malam tadi kami berkumpul semula. Kali ini lebih ramai: Du, Mahani dan anak-anak Sofea dan Maria; Pok Lan, Arisya dan anaknya Syifa; Awi, Ana dan anak-anak Husna dan Nabil; aku, Saleha dan anak-anak Syirazi dan Hassan; dan Keri tanpa Asma' dan Danish (namun suaranya sempat hadir lewat telefon bimbit sambil menyampaikan salam untuk semua). Pertemuan berlangsung sederhana bermula jam 9.30 malam dengan hidangan Super Special Moghul Basmathi Rice yang dimasak dengan Australia Lamb Shoulder beraroma Esfedan Masyhad Saffron, kurma ayam, acar dan sambal. Setelah itu dijamu sedikit buah-buahan dan kuih sambil menghirup Earl Grey Ahmad Tea London. Untungnya kami semua tidak merokok dan membolehkan kami bersembang sambil meriba anak masing-masing.

Seperti tujuh tahun yang lalu, kami berlima berbual tentang pelbagai kisah perjalanan dan pengalaman. Begitu asyik sehingga menghampiri jam 11.30 malam. Esok masing-masing pun sibuk. Keri akan berangkat awal pagi ke Gopeng, Du yang bersiap-siap pulang beraya di Kelantan dan Awi yang harus menjaga isteri yang sedang sarat. Mahu tidak mahu, kami harus bubar dan terpaksa akur dengan kehidupan berkeluarga.

Keakuran itulah akhirnya membuat aku bertanya, "Masih adakah lagi SAM? Betapa tidak, di dapur masih banyak makanan. Ada Chocolate Fleck Chiffon dan groundnut. California Pink Apple yang Du bawa pun belum diusik. Paling rugi, kami tidak sempat menikmati 'makanan rasmi' SAM, Grilled Sunflowerseeds, walaupun dua bungkus besar sudah kubeli!

Pagi ini -sambil menulis- aku 'menikmati' semua yang tersisa dan perlahan-lahan menelan segala keakuran yang mengubah kita selama tujuh tahun ini. Semoga ada lagi waktu-waktu untuk SAM! Hahaha.

Thursday, December 6

Iran Kiblat Produser Filem Islam

Hubungan para produser filem Iran dengan pusat-pusat keagamaan dan budaya boleh menjadi contoh kepada para produser filem lain. Hisyam Ali Farid Qasim, produser filem Palestin mengatakan ianya berlaku kerana filem-filem Iran berpegang teguh pada nilai-nilai al-Quran dan berhasil mendapat tempat di mata dunia. Qasil menegaskan, nilai-nilai keislaman yang sarat di dalam filem-filem mereka adalah bukti eratnya hubungan mereka dengan pusat-pusat keagamaan.
Menurutnya, negara-negara Islam lainnya sebenarnya mampu untuk melakukan hal yang sama, walaupun hubungan mereka dengan badan-badan agama di negara masing-masing agak terbatas, namun mereka boleh menjalinkan kerjasama dengan institusi keagamaan di Iran.

Menjawab pertanyaan bahawa adanya "pertembungan paradigma" untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama antara para pembuat filem dengan institusi keagamaan, beliau menjelaskan bahawa di sebahagian negara memang begitu dan bahkan boleh dikatakan mustahil mereka mampu bekerjasama, kerana filem dan pawagam bagi mereka adalah tempat penyebaran kesesatan dan maksiat sehingga tidak mungkin boleh dimanfaatkan untuk tujuan yang baik seperti menyampaikan nilai-nilai moral dan ilmu pengetahuan.

Menurutnya lagi, harus sentiasa ada usaha yang serius dan semangat yang tinggi dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing agar kerjasama yang bakal terjalin di antara kedua pihak mendatangkan hasil yang lebih baik dan efektif.
Sumber : Wartawan IQNA

Anak Ayam

Hassan bangun merengek-rengek. Jam menunjukkan pukul 5 pagi dan Abang masih tidur. Atuk siap-siap nak ke masjid. Daripada rengekannya melarat, aku buka tingkap tepi katil. "Hassan, kok kokokookk..tu tengok ayam," dengan mata separuh terbuka aku melayan si Hassan. Tertatih-tatih ke tepi tingkap, kok kokk.., Hassan meniruku. Mama separuh sedar bersuara, "Beli la mainan untuk budak-budak tu.."
Seingat aku, hanya beberapa kali aku beli mainan. Itupun bola, creative block, bola, ABC mat dan bola. "Bukan tak nak beli, tapi Abah tak tahu nak beli apa. Nak beli pistol, esok Abah takut budak-budak tu minat jadi polis. Polis ni maklumlah..lagipun mendorong pada keganasan," ujarku dengan mata terbuka penuh. "Nak belikan jet atau helikopter, ngeri pulak teringatkan Cessna dan Nuri. Kalau beli Bulldozer pun, dia besar nanti mana ada bukit dah kat Selangor ni nak ditarah. Takkan nak beli cooking set, Mama tengok la chef-chef yang ada kat Malaysia sekarang ni," sambungku lagi. "Habis tu?" Mama juga sepenuh sedar bertanya.
"Abah dulu besar di kampung. Mana ada mainan-mainan tu semua. Dulu mainan kami burung serindit, anok ike spila, ayam dan alam. Mandi sungai, laga buah getah, kutip durian, panjat duku dan macam-macam permainan ada." aku bangun dan betulkan kilas kain untuk berwudhu.

"Takpe la Hassan, esok Abah beli anak ayam untuk Hassan", janji Mama sambil bersiap untuk berjemaah.
"Kukukkukk..", Hassan seakan bersetuju dengan janji Mama. Esok? Mana aku nak cari anak ayam ni..

Sunday, December 2

Persatuan Wartawan Syria telah mengadakan pertandingan foto akhbar baru-baru ini. Hasil undian internet telah memilih gambar seorang kanak-kanak berumur 7 tahun yang sedang menjual kuih sambil belajar di sebuah jalan di kota Damsyik sebagai pemenangnya.
Wassim Khirbik, jurufoto tersebut berkata, beliau terpaksa zoom dari jarak 30 meter untuk mendapatkan gambar tersebut kerana gadis kecil itu tidak suka dirinya difotokan.
Dikatakan kanak-kanak tersebut sedang belajar Matematik di dalam bahasa ibundanya, bahasa Arab, dan bukan menggunakan bahasa Inggeris.
Sumber: Jam Jam Online