: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Monday, May 18

Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raajiun

Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raajiun. Hadrat Ayatullah al-Uzma Agha Sheikh Muhammad Taqi Bahjat dilahirkan pada akhir 1334 HQ di daerah Fuman, Gilan dari sebuah keluarga yang taat. Ayahnya bernama Mahmud Karbala’i, seorang pemuka agama di daerahnya. Ketika berusia 16 bulan, ibunya meninggal dunia. Mendapat didikan awal di daerah kelahirannya dan sehingga berusia 14 tahun melanjutkan pengajian ke Karbala dan Najaf di bawah asuhan sejumlah ulama terkenal seperti Sheikh Abul Qasim Khui, Sheikh Murtadha Taleqani, Agha Dhiya’ Iraqi, Sheikh Mirza Naini dan Sheikh Muhammad Gharawi Isfahani Kumpani.

Selain itu Sheikh Agha Bahjat juga berguru dengan Sayyid Abul Qasim Isfahani dan Sheikh Muhammad Kazim Shirazi. Pengajian kitab Isyarat wa Tanbihat Ibnu Sina dan Asfar al-Arba’ah Mulla Sadra diperolehi daripada Sayyid Husein Badkubeh. Beliau juga berkesempatan menyusun sebuah kitab hadis berjudul Safinah al-Bihar bersama Sheikh Abbas Qummi. Dalam usia yang masih remaja iaitu sekitar 17 atau 18 tahun beliau telah berkesempatan bertemu dan menjadi murid Allamah Sayyid Ali Qadhi*, seorang mursyid yang terkenal.

Setelah itu beliau kembali ke kota Qum dan terus menimba ilmu daripada Sayyid Hujjat Kuhkamari dan Sayyid Husein Burujerdi.

Sheikh Bahjat mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Imam Khomeini. Beberapa masalah penting dirujuk langsung kepada beliau. Allamah Tabatabaie menyebut Sheikh Bahjat sebagai ‘abd saleh’ manakala Ayatullah Bahauddini menyatakan, “Manusia yang paling kaya (dari sisi maknawi) sekarang ini adalah Sheikh Bahjat.”

Sayyid Abdul Karim Kashmiri dan Sheikh Abbas Quchani (murid khusus Allamah Sayyid Ali Qadhi) menyebut Sheikh Bahjat adalah insan kamil.

Dengan usianya yang panjang dan penuh berkah, beliau telah berhasil melahirkan sejumlah ulama besar dan para arif. Semalam, dunia telah kehilangan beliau. al-Fatihah.

* "Bismillah.." di atas adalah tulisan tangan Sayyid Ali Qadhi.