Seorang lelaki tua tinggal di lereng pergunungan di sebuah lembah bersama cucunya. Setiap pagi Sang Atuk bangun menyiapi segala keperluan cucunya setelah menunaikan semua kewajipan terhadap Allah. Setiap pagi juga dia duduk di muka pintu sambil membaca Quran, dan udara segar dingin menyapu raut wajahnya. Si cucu juga terkadang berusaha mengikuti kebiasaannya itu.
Suatu hari teragak-agak si cucu bertanya, “Atuk, saya juga cuba membaca al-Quran tetapi tidak mampu memahaminya. Lalu untuk apa saya terus membacanya?”
Termenung sejenak, Sang Atuk berkata, “Ambil bakul rotan ini dan pergi ke sungai. Bawakan atuk air.”
Tanpa berlengah, si cucu berlari ke sungai berhampiran dan mencedok air menggunakan bakul tersebut. Berlari dia pulang ke rumah tetapi hampa kerana bakulnya kosong. Sang Atuk ketawa kecil, dan berkata, “Kamu harus berlari lebih pantas.” Dia mencuba lagi, tetapi hasilnya tetap sama, kosong. Berulang kali dia menuju ke sungai dengan lebih laju, bakulnya masih tidak dapat menampung air.
Akhirnya si cucu menyerah kelelahan. “Betapapun saya berusaha, bakul ini tidak boleh diisi dengan air. Bukankah ini sia-sia?,” keluh si cucu.
“Cucuku, sekarang lihat. Bakul itu yang tadi kotor dan berdebu telah menjadi bersih. Luar dan dalam. Begitu juga ketika kamu membaca al-Quran. Mungkin kamu tidak memahami atau mengingati semuanya. Tetapi apabila kamu terus membacanya, ia akan membersihkan dirimu, luar dan dalam.”