: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Monday, December 22

Seminar Perpaduan Islam: Dialog Antara Tamadun


Bertempat di Dewan Persidangan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya pada 16 Disember 2008 baru-baru ini telah berlangsung satu program yang bertajuk Seminar Perpaduan Islam: Dialog Antara Tamadun anjuran bersama Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan Pusat Kebudayaan Kedutaan Iran di Malaysia.

Sebanyak 6 kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar tersebut yang diwakili oleh para ulama daripada negara Iran dan cendikiawan daripada Malaysia. Di antaranya ialah Ayatullah Sheikh Muhammad Ali Taskhiri, Sheikh Muhammad Baqir Ansari, Prof. Dr. Hasan Tabaraiyan, Dr. Ali Mutahhari (putera tokoh Revolusi Iran, Syahid Mutahhari), Prof. Dato' Osman Bakar, Dr. Karim D. Crow dan Dr. Rasa'i. Antara yang turut menyampaikan ucapan ialah Prof. Dr. Amin Jalaludin, Prof. Dr. Azizan Baharuddin dan Hujat ul Islam Muhammad Hasan Vahedi.

Seminar sehari tersebut telah memutuskan 10 resolusi penting iaitu:

1) Persamaan di dalam mazhab-mazhab Islam lebih banyak berbanding perbezaan. Oleh itu setiap dialog dan perbahasan haruslah menekankan titik persamaan dan mengurangkan isu-isu khilafiah.
2) Salah satu punca perpecahan di kalangan umat Islam ialah perbalahan yang timbul akibat kejahilan dan taasub.
3) Para ulama dan cendikiawan menggunakan dalil al-Quran dan al-Hadis bagi mencapai pendekatan antara mazhab.
4) Slogan 'Ummatan Wahidah' harus digembeleng untuk membangunkan kekuatan ummah.
5) Tumpuan dalam menghadapi musuh dunia Islam mampu memperkukuh kesatuan umat Islam sedunia.
6) Membentuk kekuatan dunia Islam yang mampu berperanan dengan lebih proaktif dalam menentukan masa depan umat Islam.
7) Menggunakan strategi kesatuan yang bermula semenjak 'Darul Taqrib Kaherah' sehingga 'Majma Taqrib Tehran'.
8) Menekankan kepentingan dan keperluan budaya Taqrib di kalangan mahasiswa dan intelektual.
9) Menghormati pandangan dan kedudukan para ulama terdahulu yang merintis jalan Taqrib.
10) Menghormati kemuliaan dan kesucian seluruh umat Islam daripada pelbagai mazhab.

No comments: