Seorang anak muda sering melakukan kesalahan dan dosa. Tidak pernah diendahkan walaupun puas si ayah menasihati, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Sehinggalah suatu hari si ayah tua jatuh sakit. Perlahan dia memanggil anaknya dan berwasiat, "Anakku, sekiranya engkau tetap dengan keinginan syahwat dan maksiat, lakukanlah." Sang anak membisu tidak mengerti.
"Tetapi dengarlah nasihatku ini. Setiap kali engkau melakukan dosa, ambillah sebatang paku dan ketuk di dinding rumah ini," sambung si ayah tua. Sang anak muda semakin tidak memahami.
"Namun jika kamu telah bertaubat, maka cabutlah paku-paku tersebut," si ayah berpesan sekaligus membiarkan anaknya dalam kebingungan.
Setelah si ayah meninggal, anak muda tersebut masih dalam kelalaian.Tetapi setiap kali dia melakukan dosa, diketuk sebatang paku di dinding rumah, untuk mencari makna perkataan ayahnya. Demikianlah berlalu sehingga seluruh dinding dipenuhi paku.
Suatu hari, setelah merenung paku-paku di dinding, timbul keinsafan di hatinya. Ah, betapa dosa-dosa yang telah kulakukan. Lantas dia mula mencabut paku-paku tersebut satu persatu sesuai dengan dosa yang ditinggalkan.
Sekian lama berlalu, dia masih belum mengerti wasiat si ayah, sehingga pada suatu malam dia bermimpi bertemu ayahnya yang berkata, "Anakku, lihatlah sekian banyak dosa yang telah kau lakukan. Betapapun engkau telah meninggalkannya dan bertaubat, kesannya masih terlihat. Sungguhpun telah dibuang semua paku, tapi bagaimana dengan lubang-lubang itu?"
Sang anak tiba-tiba tersedar. 'Tersedar' dengan sesungguhnya.
Di dalam Islam, setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan suatu nikmat tertentu dalam kehidupan kita ditarik oleh Allah SWT. Dalam doa panjang Nisfu Syaaban, Imam Ali memberitahu sahabatnya Kumail ibn Ziyad, "Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan turunnya kesempitan. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan hilangnya nikmat. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan turunnya bala bencana. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang menyebabkan doa terhijab."
Ya Allah, dengan keberkatan bulan Syaaban, ampunkan dosa-dosa kami yang mengundang kemurkaanMU.
ِِِِ
No comments:
Post a Comment