: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Wednesday, April 21

Titik Jenuh

Manusia punya pelbagai potensi dan multi dimensi. Kita harus sentiasa memberi perhatian samada ia berkembang ke atas atau ke bawah. Melangit mencapai Ruh-Nya atau menjunam lebih hina daripada haiwan, kata orang-orang sufi. Di antara kedua ada titik jenuh. Untuk keluar dari lingkungan kejenuhan ini memerlukan kekuatan. Begitu juga agar tidak terjerumus ke dalamnya kita harus hati-hati. Lingkaran ini sangat bahaya; ada yang jenuh beribadah, letih berbuat baik, kuat berangan, tidak berambisi, bosan menahan nafsu, tidak sabar atas ujian atau bahkan malas untuk berfikir.
Di situasi ini kita sebenarnya semakin hanyut ke bawah. Kita berputar di lubuk kehancuran - walaupun cuba dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Kita dibawa ke muara kelelahan dan hampa berpanjangan. Selagi kita tidak melompat keluar daripada pusar ini kita terkebelakang dan gagal untuk maju. Kita akan kalah dengan nilai, pengalaman, pengajaran dan pemikiran yang lebih segar dan baru. Kita gagal sebelum berbuat apa-apa!
Dan janganlah ini berterusan. Marilah kita lebih tawadhu', berusaha gigih, berani mengalah pada kebenaran, belajar dan bertanya pada yang memahami, berdoa lalu berserah kepada-Nya.
Ingatan ini untuk kita semua agar tidak lagi bermesyuarat hingga ke dinihari!In maskhare bozi nist!

Monday, April 19

Kisah Awal Pagi 2: Hasan Jatuh

Malam masih belum terlalu lewat, mungkin sekitar jam 10. Tiba-tiba si Hasan yang terjun dari atas meja berteriak kuat. Kakinya terseliuh. Dalam serba salah kami memutuskan untuk menghantarnya kepada tukang urut. Dalam perjalanan, di tengah jalan dan di tengah malam, kereta kami kehabisan minyak. Tak jadi ke tukang urut, kami bergegas ke bahagian kecemasan hospital. Setelah menunggu beberapa lama, hasil x-ray tidak menunjukkan tanda-tanda retak atau patah, Alhamdulillah. Namun doktor bertegas agar dia ditahan di wad. Kesempatan malam itu, kami bercerita tentang manusia sekeliling di wad yang dilanda seribu satu masalah. Kesedihan, tangisan, kesetiaan, penderitaan, penyesalan dan kasih sayang membungkus perasaan mereka semua, termasuk kami. Esoknya dia di x-ray lagi di bahagian pinggang. Pun tidak ada tanda-tanda kecederaan serius. Akhirnya sekitar jam 6 petang kami dibenarkan pulang. Alhamdulillah.

Untuk kisah benar ini, kami kongsikan artikel pendek berikut;

Menurut pandangan Islam, perbuatan buruk insan memiliki peranan yang penting dalam masalah dan musibah kehidupannya. Al Qur’an menjelaskan:

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan salah dan dosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah Syura: ayat 30)

Ketika menjelaskan dan menafsirkan ayat ini Saidina Ali k.w.j berkata: "Hindarilah dosa kerana semua bala dan kekurangan rezeki adalahnya akibat dosa; termasuk gatal badan, jatuh dan mendapat musibah."

Jika manusia yakin bahawa segala perbuatan buruknya boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupannya di dunia, dan akan membebankannya setelah kematian, maka dia tidak akan sanggup melakukan perbuatan buruk.

Jika keyakinan ini semakin kuat, dia akan menjadi asas dalam pembentukan manusia yang saleh. Syeikh Rajab Ali Khayyati, tukang jahit ‘arif adalah salah seorang yang dikurniakan Basirah Ilahiyah dan pandangan Barzakhi untuk melihat hubungan perbuatan buruk dan kesulitan hidup. Dengan pandangan ini, dia sering menasihati masyakarat dan membuka simpul beban hidup serta musibah mereka. Sederhana tapi jelas, beliau membimbing mereka di jalan kesempurnaan insaniah.

Salah seorang murid beliau bercerita, “
Suatu hari anakku yang berusia dua tahun buang air kecil di dalam rumah. Ibunya sangat marah lalu memukul anak kecil tersebut. Sejam setelah itu si ibu demam dengan kepanasan badan yang sangat tinggi. Kami bergegas ke doktor. Setelah pulang, badannya semakin panas dan kami kembali semula ke doktor tersebut. Suatu malam ingin aku menghantar guruku Syeikh Rajab Ali ke satu majlis. Isteriku juga berada dalam kereta tersebut. Aku memberitahu beliau bahawa badan isteriku masih panas dan kami telah membawanya ke doktor tetapi masih belum sembuh. Syeikh melihat sejenak dan berkata, “Tidak seharusnya memukul anak sampai begitu kuat. Istighfarlah. Hiburkan si anak dan belikan sesuatu untuknya. InsyaAllah, nanti sembuh sendiri.” Kami melakukannya dan dia sembuh!” (Petikan buku The Elixir of Love)
Ya Allah, apapun dosa kami terhadap anak-anak, ampunilah mereka dan kedua ibubapa mereka.

Tuesday, April 13

Kisah Pagi 1

Salah satu kesempatan paling indah adalah berada di dalam kereta antara 15 hingga 20 minit di waktu pagi bersama-sama isteri menghantar anak kami ke sekolah. Kesempatan itu kadang-kadang berlanjutan di meja warung sarapan. Kadang kami saling menceritakan pengalaman masing-masing di tempat kerja, masalah orang sekeliling, tentang anak-anak, rumahtangga dan lain-lain. Kami saling mendengar dan meluahkan. Kadang lucu, kadang santai dan sering juga beremosi. Lama-lama terfikir nak buat siri kisah pagi ni..
Lobak, Telur dan Kopi
Pagi ini isteriku menceritakan kisah temannya yang kemurungan. Katanya beban masalah yang tiba menimpa-nimpa. Dalam perjalanan menghantar anak kami ke sekolah, aku ceritakan kisah yang pernah kubaca ini kepadanya.
Ceritanya...
Seorang wanita yang baru sahaja berkahwin. Setelah beberapa ketika dia bertemu ibunya dan mengeluh tentang sikap suaminya; kasar, berat tulang, boros dan lain-lain. Si isteri berharap ibunya turut menasihati tingkah laku sang suami. Namun ibu tua itu tetap diam sambil berlalu ke dapur. Sambil terus mendengar omelan puterinya, sang ibu memanaskan secerek air.

Beberapa ketika, air mula mendidih. Sang ibu menuangkan air panas itu ke dalam tiga gelas. Setiap satu gelas berisi telur, lobak dan kopi. Seketika menunggu, si ibu mengangkat isi gelas-gelas tadi. Lobak yang keras menjadi lembut, telur yang mudah pecah menjadi keras dan kopi memancar aroma harum.

Si ibu lalu menjelaskan, “Puteriku, masalah itu bagaikan air mendidih. Namun bagaimana sikap kita itulah yang menentukan kesannya. Kita boleh lembut seperti lobak, keras seperti telur atau wangi seperti kopi.”

“Dalam setiap masalah sebenarnya tersimpan mutiara berharga. Memang mudah untuk bersyukur dalam keadaan biasa. Tapi apakah kita mampu untuk tetap yakin dan beriman ketika pertolongan Tuhan tidak kunjung tiba?”

“Hari ini kita belajar tiga reaksi orang ketika masalah datang. Ada yang lembik, mengeluh dan bermurung. Ada yang mengeras marah bahkan memprotes Tuhan. Ada juga yang sebaliknya semakin harum, taat dan tunduk menyerah penuh percaya kepadaNya.”

“Puteriku, ada kalanya Tuhan sengaja menunda pertolonganNya agar kita belajar untuk percaya bahawa tidak pernah ada masalah yang tidak Dia selesaikan.”

Monday, April 12

Kelahiran

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Rasulullah s.'a.w bersabda, "Di 'Arasy kulihat satu cahaya yang berkilau seperti bidadari Syurga. Aku diberitahu inilah puteri "Insiyah Haura'" yang terbentuk daripada buah-buahan Syurga. Setiap kali aku merindui bau Syurga, aku akan mencium puteriku Fatimah az-Zahra." (Hadis)
Nama Ibu: Saleha
Nama Bayi: Haura'
Tarikh Lahir : Selasa, 9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
Jantina : Perempuan
Tempat Lahir : Pusat Rawatan Islam
Waktu Lahir : 4.30 pagi
Berat : 3.3kg

"Wahai Yahya, ambillah al-Kitab itu dengan sungguh-sungguh. Dan kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak, dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian . Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan seorang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong lagi derhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan kembali." (Surah Maryam, ayat 12-15)

Akal dan Syahwat

'Arif Mulla Sadra berkata,

"Ketahuilah bahawa manusia itu bersekutu dengan haiwan dalam perkara syahwat dan bersekutu dengan malaikat dalam akal. (1) Ada yang dicintai akal tetapi tidak disukai syahwat, (2) ada yang disukai syahwat tetapi tidak disukai akal. (3) Ada juga yang sama-sama disukai akal dan syahwat dan (4) ada juga yang tidak disukai akal dan tidak disukai syahwat."
Contoh yang pertama ialah sakit, kemiskinan dan benci dunia. Kedua ialah maksiat. Ketiga ialah ilmu, dan keempat ialah kebodohan.
Kedudukan ilmu dibandingkan kebodohan adalah seperti Syurga dengan Neraka. Seperti halnya akal dan syahwat tidak menyukai Neraka maka keduanya juga tidak menyukai kejahilan. (Mafatih al-Ghaib)

Kembali

Assalamualaikum wrt wbt..

Ada beberapa perkara yang menggerakkan untuk blog ini dihidupkan kembali. Pertama, kerana tidak mahu terlibat dalam ketagihan facebook. Lastu min ahl al-fesbukiyyah. Kedua, refleksi kepada beberapa peristiwa yang berlaku yang memerlukan catatan dan analisis. Sehingga tidak ter'gugel' lagi ke sana sini. Ketiga dan seterusnya adalah kerana ingin meringankan beban fikiran yang bukan2 dalam diri, yang memerlukan folder baru untuk disimpan serta lain-lain alasan yang munasabah untuk membuang masa (?).
"Aku menulis maka aku ada" juga adalah salah satu sebab untuk berblog. Ada blog yang serius tempat menuang gagasan penulis, atau jenis santai sebagai diari elektronik yang menulis hampir semua kegiatan harian termasuk apa sarapan pagi, apa menu tengahari, kucing yang belum dimandi dan sebagainya. Atau boleh jadi blog itu santai dan serius sekaligus.
Akhirnya ada sebuah hadis dalam Ghurarul Hikam menyebut, “Seorang hamba mukmin berusaha mewariskan ilmu dan adab yang baik kepada keluarganya, agar semuanya mendapat kesempatan untuk ke Syurga. Sementara hamba yang banyak berdosa akan mewariskan untuk keluarganya ilmu dan adab yang buruk, yang akibatnya masuk ke neraka."
Mudah-mudahan blog ini akan mewariskan sesuatu kepada kita semua untuk sampai ke Sisi-Nya.