: : wahai Ism terindah bagi permulaan segala sesuatu : : dengan nama siapa harusku bermula selain-Mu : :

Monday, May 10

Kisah Pohon Epal

Alkisah satu masa dahulu terdapat sepohon pokok epal yang besar. Setiap hari seorang anak kecil pergi ke pohon tersebut untuk bermain. Dahannya dipanjat, buahnya dimakan dan kadang-kala berteduh di bawah bayangannya. Dia mengasihi pokok itu dan pokok itu menyayanginya. Sekian masa berlalu, anak itu tidak lagi bermain bersama pokok epal. Suatu hari dia kembali dan kelihatan sugul.
Marilah bermain lagi bersamaku,” kata pohon epal.
Maaflah. Aku bukan anak kecil lagi untuk bermain dengan pokok,” balas anak itu. “Aku perlukan mainan dan duit untuk membelinya.”
Maafkan aku. Aku tidak punya wang. Jika kau mahu, petiklah buah epalku ini dan jual. Nanti kau akan dapat wang.”
Anak itu sungguh teruja. Dia memetik banyak buah epal dan berlalu dengan gembira. Setelah itu dia tidak pernah muncul lagi. Pohon epal merasa sedih.


Suatu hari anak kecil itu datang lagi. Tetapi dia sudah menjadi seorang lelaki dewasa.
Pokok epal sangat gembira dan berkata, “Marilah bermain bersamaku.”
Lelaki itu menjawab, “Oh, aku tidak punya masa lagi untuk bermain. Aku sudah punya keluarga. Keluargaku memerlukan rumah untuk berlindung. Bolehkah kau membantu?”
Maafkan aku. Aku juga tidak punya rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku untuk membina rumahmu,” kata pokok epal.
Lelaki itu terus mengambil kapak, memotong dahan-dahannya dan berlalu dengan senang hati. Pokok epal juga gembira. Namun lelaki itu tidak pernah muncul lagi. Pokok epal kembali sunyi dan bersedih.

Suatu hari di musim panas, lelaki itu datang lagi dan pokok epal sangat gembira.
Marilah bermain lagi denganku,” kata pokok epal dengan penuh harapan.
Aku sudah semakin tua. Aku memerlukan perahu untuk belayar dan menenangkan fikiran. Bolehkah kamu memberikan aku sebuah perahu?” tanya lelaki itu.
Ambillah batangku ini dan jadikan ia perahu. Belayar kamu dengan gembira,” kata pokok epal tanpa ragu-ragu.
Tanpa ragu-ragu juga lelaki tersebut memotong pokok epal dan menjadikannya perahu. Setelah itu dia belayar dan tidak pernah muncul-muncul lagi.

Suatu hari lelaki itu datang lagi. Pokok epal berkata, “Maafkan aku. Aku sudah tidak punya apapun untukmu. Aku tidak punya buah untuk dimakan.”
Aku juga sudah tidak punya gigi untuk mengunyah.”
Aku sudah tidak punya dahan untuk dipanjat.”
Aku juga sudah tua untuk itu.”
Aku benar-benar tidak punya apa. Apa yang aku ada hanyalah akar reput menanti maut,” kata pokok epal kesedihan.
Aku juga tidak memerlukan apa-apa lagi. Setelah tahun-tahun itu berlalu aku sudah keletihan. Aku hanya memerlukan sebuah tempat untuk berehat.”
Oh! Akar pokok tua adalah tempat paling sesuai untuk beristirehat. Marilah dan berbaringlah di sisiku.”
Lelaki tua itu duduk dan pokok epal sangat gembira. Dia menangis dan tersenyum.

Pesan Moral
Kisah ini adalah kisah kita semua. Pokok epal ibarat ibu bapa kita. Dari kecil kita bermain bersama mereka. Apabila kita besar kita meninggalkan mereka sambil sesekali menjenguk mereka apabila kita memerlukan sesuatu atau menghadapi masalah. No matter what, parents always be there and give everything they could. Just to make us happy. Mungkin kita fikir lelaki itu kejam terhadap pokok epal, tetapi begitulah kita ‘menghargai’ orang tua kita. Mereka sering kita abai dan sisih. Kita datang dan pergi tanpa pernah berterima kasih. Ya Allah! Ampunilah segala kesalahan kami terhadap kedua orang tua kami, bimbinglah kami untuk mengasihi mereka dan tempatkan mereka di sisi para kekasih-Mu, ya Allah. Selamat Hari Ibu!

(Diterjemah daripada: Dirahkt-e Sib va Pesar-e Bache)

No comments: